Benarkah Pelaburan ASB Loan Merugikan?

Assalamulaikum dan Salam Inspirasi Buat Semua Saudaraku…

Ramai yang mengeluh sebab Bonus ASB tahun 2015 merundum, paling rendah dalam sejarah ASB sejak dilancarkan. Termasuklah saya sendiri, salah seorang pelanggan ASB dan juga ASB Loan.

Jadual Pendapatan ASB hingga 2015
Jadual Pendapatan ASB hingga 2015

Kalau tengok dari senarai di dalam gambar di atas ini, boleh lah tahu mengapa ramai yang mengeluh kan?

Saudara bagaimana?

Benarkah ASB LoanĀ Merugikan?

Ini pula persoalan kedua yang timbul ‘Benarkah Pelaburan ASB Loan Merugikan?’. Sejujurnya saya katakan TIDAK.

Kenapa tidak? Kerana ASB tetap memberikan pulangan cuma tidak seperti yang kita harapkan. Betul tak?

Jadi masih ada keuntungan disitu.

Ramai yang mengeluh pasal pelaburan ASB merugikan kerana apa yang mereka lihat dari sudut berapa jumlah yang mereka bayar.

Contoh mengikut jadual Loan RHB dibawah:

ASB Loan merugikan?
ASB Loan merugikan?

Katakanlah peminjam meminjam RM 200,000.00 selama 25 tahun.
Bayaran bulanan adalah RM 1,271.00
Jumlah setahun adalah RM 15,252.00
Pendapatan pada 2015 adalah7.25%
Bonus pada 2015 adalah 0.50%
Jumlah pendapatan adalah RM 15,500.00

Saya buat pengiraan ini tanpa bezakan pendapatan dan bonus saya ambil 7.75%. Sepatutnya untuk pendapatan adalah purata simpanan setahun manakala bonus adalah purata simpanan untuk 10 tahun. Boleh rujuk entri lama saya iaitu Cara Pengiraan Bonus ASB.

Biasanya orang yang kata rugi apabila meraka mengharapkan prestasi yang lebih baik tapi bila menghampakan itu yang mereka rugi.

Ingat post saya sebelum ini, beza antara simpanan dan pelaburan. Bila pelaburan ada risikonya. Jadi kita kena hadapi ini.

Untuk pelaburan tolong lihat dalam jangka masa yang panjang.

Itu saja untuk kali ini semoga bermanafaat.

Berminat nak tahu lagi pasal ASB Loan boleh rujuk pada post lama saya:

 

PS: Minat untuk pelaburan unit amanah boleh hubungi saya 0182477971-zaidi

Masa untuk berubah

Assalamualaikum dan salam inspirasi buat semua saudaraku…

Sering kali kita menyatakan nanti lah dulu, biarlah, nanti aku buat lah. Itu yang sering kita jadikan alasan kita, dan membuatkan kita sering kali terlambat.

Perubahan
Perubahan

Sebenarnya dalam melakukan sesuatu biarlah kita jadi yang pertama. Jangan pernah terlambat. Jika kita sudah merancang mulakan sekarang.

Mulakan setiap perancang kita dengan kadar yang segera. Walaupun dengan satu langkah yang kecil pasti akan besar maknanya. Langkah kecil kecilan lama lama besar jadinya besar maknanya.

Setiap insan yang berjaya hari ini juga memulakan dengan langkah yang kecil. Dari langkah kecil yang membawa kepada satu perubahan besar mencapai puncak jaya.

Jika anda sudah ada perancangan mulakan segera jangan tunggu tunggu. Jangan biarkan orang lain mendahului kita. Biar kita jadi yang pertama dan kekal yang pertama.

Hargai Masa Orang Lain

Assalamualaikum dan Salam Inspirasi buat semua saudaraku…

Dari zaman sekolah kita di ajar untuk menghargai ‘masa‘. Jadual-jadual waktu dalam kelas di jadualkan bukan untuk menetapkan masa kita belajar semata-mata tapi adalah untuk menghargai masa. Jadual adalah suatu perancangan, perancangan di buat supaya kehidupan menjadi teratur dan berdisiplin terhadap masa. Semua ini saya sendiri tidak sedar semasa di sekolah, hanya saya sedari apabila menjejak kaki ke Kolej.

Hargai masa orang lain - Masa tidak dapat kita hentikan
Hargai masa orang lain – Masa tidak dapat kita hentikan

Kita juga sering mendengar perumpamaan iaitu ‘Masa itu emas’. Adakah masa itu emas? Tidak, cuma masa adalah suatu yang amat berharga. Masa yang berlalu tidak akan datang kembali.

Dalam Islam ada menyebut ingat 5 sebelum 5 iaitu:

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : ” Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati.” (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Dalam kelima-lima elemen ini adalah berkenaan dengan masa. Menghargai masa kita, dan hargai masa orang lain.

hargai masa orang lain - tepatilah masa
hargai masa orang lain – tepatilah masa

Saya sebenarnya cukup bengang dengan orang yang tidak hargai masa orang lain. Mungkin mereka tidak kisah masa mereka dibazirkan begitu saja. Tapi hormati hak orang lain, hargai masa yang mereka luangkan. Sekiranya berjanji cubalah untuk tepati janji.

Saya juga tidak suka istilah ‘Janji Melayu’, kenapa lekeh sangan ke Melayu? Semua orang ‘Melayu’ kah yang tidak tepati janji? Jangan samakan semua orang. Tidak semua orang Melayu yang tidak menghargai masa. Melayu moden dan maju sudah ramai yang sudah bergerak lebih pantas dari masa.

Jangan jadi orang yang gagal. Ubahlah diri kita kerana hanya kita yang mampu mengubahnya mulakan dengan hargai masa kita dan hargai masa orang lain.

10 blogger terbaik Malaysia pun mesti orang yang jenis menghargai masa. Betul tak?

Pentingnya Disiplin Kerja

Assalamualaikum dan Salam Inspirasi buat semua saudaraku…

Disiplin kerja amat penting sekali, tidak kira berkerja makan gaji mahupun berniaga sendiri. Jika makan gaji, pasti ada peraturan yang perlu kita patuhi dan ikuti seperti peraturan masa kerja, peraturan berpakaian dan peraturan penggunaan telefon. Manakala, untuk kerja sendiri pula disiplin kerja yang tinggi adalah suatu yang paling penting, walaupun kerja pakai jeans dan t-shirt disiplin tetap perlu.

rotan
rotan

Zaman sekolah dahulu, kita sering ditekankan tentang pentingnya disiplin. Kalau langgar peraturan sekolah pasti denda akan menunggu dan yang paling popular adalah rotan. Tapi sekarang rotan dah tidak dibenarkan? Betul ke? Saya dulu cukup takut dan anti dengan guru disiplin. Almaklumlah, budak nakal memang begini.

Sekarang ini, apabila sudah melalui dunia alam pekerjaan baru saya mengerti betapa pentingnya disiplin yang cuba cikgu saya terapkan dulu. Bukan sahaja dalam pekerjaan tapi juga dalam kehidupan seharian. Hidup tiada disiplin umpama lalang, kesana-sini mengikut saja arah tiupan angin, tiada tujuan.

Saya akui saya juga bukan manusia yang sempurna. Bukan baik sangat pun. Tapi saya tetap cuba sehabis baik untuk mendisiplinkan diri. Peraturan kerja saya cuba ikut, walaupun kadangkala berasa cukup rimas. Ya lah, Setelah 3 tahun bekerja hanya dengan memakai jeans dan t-shirt, saya bertukar arah dengan bekerja yang lebih ketat disiplinnya dan memerlukan saya memakai kemeja dan slack. Pada awalnya, agar sukar untuk mengubah semuanya tapi lama-kelamaan sudah menjadi biasa.

Rupanya pekerjaan saya dahulu banyak mendisiplinkan saya tanpa sedar. Ya, sebab saya berkerja dahulu dengan masa. Walaupun kerja tiada punch card, tiada boss yang nak tegur pasal rambut panjang, pakaian yang lusuh dan selekeh, Jadual pembinaan tetap kena saya patuhi. Masa itu, jadual adalah musuh saya. Saya perlu mendahului musuh saya itu. Mengejar masa adalah tugasan utama saya, memastikan setiap item siap mengikut masa, ekonomi, kualiti dan kuantiti yang ditetapkan. Oleh itu, disiplin kerja yang tinggi amat diperlukan. Mengular tetap mengular tapi kerja tetap kerja. Kini, amalan itu juga yang saya bawa.

Kekadang sedih juga bila melihat staff tempat saya kerja sekarang yang kurang disiplin nya. Masa di pejabat sama banyak dengan masa di kedai mamak. Masuk kerja balik kerja sesuka hati sahaja. Mereka sebenarnya amat bertuah kerana ramai lagi diluar sana yang inginkan pekerjaan. Mereka sepatutnya menghargai peluang yang sudah mereka genggam. Bukan berada dalam zon selesa.

Lagipun, kita mencari rezeki biarlah berkat. Jadi kita dibayar gaji untuk bekerja, buatlah kerja semampu boleh. Cubalah memberi sumbangan terbaik.

Bagi saya, walaupun kita tiada kerja, tolong lah kawan-kawan yang memerlukan bantuan menyiapkan tugasan mereka. Jika malas juga, duduk lah di tempat masing-masing atau dalam pejabat, supaya senang kita dicari sekiranya diperlukan. Kita dibayar gaji untuk berkerja bukan untuk melepak. Kita mungkin bukan pemimpin di pejabat, tapi kita tetap pemimpin keluarga.

Semua kerja dalam dunia ini memerlukan disiplin dan komitmen. Untuk jadi 10 Blogger Terbaik Malaysia pun memerlukan disiplin. Bukan begitu? Azam tahun ini adalah untuk menjadi 10 Blogger Terbaik Malaysia, kena lebih disiplin dan komited selepas ini.

Tips Pemilihan Tempat Latihan Industri

Assalamualaikum dan Salam Inspirasi buat semua saudaraku…

Latihan ilmiah, latihan industri ataupun praktikal adalah penting bagi semua pelajar, kerana semasa praktikal inilah kita akan didedahkan dengan dunia pekerjaan yang sebenar. Tapi kekadang sikap suka ambil mudah dikalangan pelajar dan tidak sedar akan kepentingan latihan industri menyebabkan mereka memilih tempat yang kurang sesuai.

Latihan indusri

Sayang sekali apabila ilmu yang dipelajari di kolej atau universiti tidak dipraktikkan semasa latihan industri. Semasa latihan industri kita masih dalam proses belajar, dan melakukan kesilapan satu perkara biasa dan masih boleh dimaafkan. Tapi kalau dalam dunia pekerjaan sebenar, satu kesilapan mungkin akan menjadi titik perubahan dalam kerjaya kita. Beringatlah.

Kesian kekadang apabila melihat pelajar yang menuntut dalam pengajian peringkat ijazah atau diploma dalam bidang Sains Komputer, disuruh untuk membuat filing, fotostat dan data entry semata-mata. Lebih bagus sekiranya ilmu yang mereka ada digunakan untuk develop webpage, atau membangunkan satu sistem. Ini kerana, kemahiran pelajar itu tidak di gunapakai sepenuhnya.

Di sini saya ingin kongsikan sedikit, tips yang boleh diguna pakai bagi pelajar yang ingin membuat latihan industri iaitu:

  • Pilihlah syarikat yang besar ataupun establish kerana biasanya syarikat yang besar mempunyai sistem kerja yang teratur.
  • Pilih syarikat yang menjalankan perniagaan yang bersesuaian dengan jurusan yang kita ambil. Sebagai contoh; kalau saudara mengambil jurusan Sains Komputer pilihlah syarikat seperti Google Malaysia.
  • Sebolehnya pilihlah kompeni swasta daripada agensi kerajaan. Kompeni swasta biasanya akan perah keringat kita semasa latihan industri ni tapi ianya berbaloi dan suatu pengalaman yang berharga.
  • Pilihlah yang mempunyai elaun. Ianya suatu bonus bagi kita. Selain dapat ilmu kita juga mendapat elaun semasa latihan. Barulah real kerja ada gaji.
  • Hantarlah seberapa banyak permohonan kepada syarikat yang berlainan. Jangan takut tidak dilayan, kerana inilah yang akan kita lakukan apabila tamat belajar nanti.
  • Buat saja semua kerja yang disuruh (selagi tidak melanggar Hukum Agama Islam dan akta buruh) jangan merungut atau mengeluh kerana itu adalah realiti alam pekerjaan.
  • Cedoklah sebanyak mungkin ilmu yang terhidang.
  • Tunjukkan prestasi yang terbaik, jangan malas. Tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu. Mana tahu rezeki saudara dapat tawaran kerja terus.

Ada lagi tak? Kalau ada boleh saudara saudari pembaca tolong tambahkan.

Dan bagi majikan atau superior untuk latihan industri pula, bagilah pelajar ini peluang untuk belajar sebaiknya. Gunakan mereka sebaiknya mengikut ilmu dan kekuatan mereka, biar pelajar ini merasai dunia sebenar alam pekerjaan.